‘Mayat Kim Jong-nam masih di HKL’

 |Mar 28, 2017
Kim Jong-nam. – Gambar fail AP.

Mayat Kim Jong-nam masih berada di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur, kata Menteri Kesihatan Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata mayat abang pemimpin Korea Utara itu akan kekal di bawah tanggungjawab kementeriannya sehingga dimaklumkan oleh Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Luar.

“Mereka sedang berbincang dan apabila perbincangan itu selesai serta mencapai satu keputusan, mereka akan keluarkan arahan selanjutnya kepada Kementerian Kesihatan mengenai apa yang perlu dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementerian, di Putrajaya, hari ini.

Mengenai laporan media semalam bahawa mayat itu telah dibawa keluar dari IPFN, Dr Subramaniam berkata beliau tidak tahu-menahu mengenainya.

“Setakat yang saya tahu mayat itu ada di HKL. Mengenai ia diserahkan kepada pihak lain, jawapannya ialah tidak,” katanya.

Dr Subramaniam yang turut menafikan khabar angin bahawa mayat Jong-nam telah dibakar, berkata kementerian tidak boleh berbuat demikian tanpa arahan atau kebenaran daripada pihak bertanggungjawab.

“Kami sudah menunggu waris sejak sekian lama. Malangnya mereka tidak tampil untuk memberitahu kami bagaimana mayat itu harus diuruskan dan sekarang Kementerian Luar sedang mencari penyelesaian untuk langkah selanjutnya,” kata beliau.

Ditanya berapa lama kementeriannya akan simpan mayat itu, beliau berkata mereka tidak mengikut prosedur biasa berhubung pengendalian mayat yang tidak dituntut dalam kes ini memandangkan ia isu sensitif melibatkan negara lain.

“Kami akan cuba menyimpannya sehingga kami memperoleh penyelesaian menyeluruh terhadap masalah ini,” katanya.

Ditanya sama ada kementerian akan melakukan pengawetan kali kedua ke atas mayat Jong-nam susulan dakwaan ia mengalami pereputan, Dr Subramaniam berkata keputusan itu akan dibuat oleh jabatan forensik.

Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un, dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2) pada 13 Feb lalu oleh dua wanita
menggunakan agen saraf yang sangat bertoksik VX.

Jong-nam yang menggunakan pasport dengan nama Kim Chol, mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya. – Bernama