Kes tembak di Setapak: Bekas pekerja ladang hadapi pertuduhan bunuh

 |Mar 28, 2017
Gambar fail.

Seorang bekas pekerja ladang hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan membunuh seorang lelaki dalam satu kejadian tembak di lampu isyarat di Setapak, Julai tahun lepas.

Tiada sebarang pengakuan daripada tertuduh, D. Manivannan, 33, yang hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Radziah Kamaruddin.

Manivannan, bersama-sama dua orang lagi yang masih bebas, didakwa membunuh V. Kandasamy, 44, seorang penarik kereta, di Jalan Taman Ibu Kota, Setapak pada 3.35 petang, 27 Julai 2016.

Manivannan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aftal Mariz Mohamed manakala tertuduh diwakili peguam Nur Izzah Abdullah.

Mahkamah menetapkan 29 Mei untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan Kandasamy mati terkena 10 daripada 18 das tembakan.

Ketika kejadian, mangsa bersendirian memandu Honda Accord sebelum memberhentikan keretanya itu di lorong kanan jalan di persimpangan lampu isyarat Jalan Taman Ibu Kota bersebelahan pusat beli-belah Setapak Sentral, Setapak, Kuala Lumpur. – Bernama

SHARE