Polis serah kertas siasatan kemalangan basikal kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya

 |Mar 22, 2017
Ketua Polis Johor Wan Ahmad Najmuddin Mohd. – Gambar fail kredit The Rakyat Post.

Polis telah menyerahkan kertas siasatan kemalangan basikal yang mengorbankan lapan remaja di Jalan Lingkaran Dalam, di Johor Bahru pada 18 Feb lepas, kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Ketua Polis Johor, Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata polis telah menyelesaikan siasatan mereka dan masih menunggu tindakan seterusnya.

“Di pihak polis, siasatan telah selesai dan kita masih lagi menunggu jika ada sebarang tindakan susulan kerana untuk pertuduhan ia mesti datang dari Pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya dalam sidang media di Johor Bahru hari ini.

Dalam kejadian awal pagi 18 Feb lalu, lapan remaja lelaki maut manakala lapan lagi cedera apabila basikal yang mereka naiki dirempuh sebuah kereta.

Kejadian berlaku di Jalan Lingkaran Dalam, bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, di Johor Bahru. – Bernama