Dua restoran hangus dijilat api di ibu kota

 |Mar 21, 2017
Kebakaran yang dilaporkan berlaku di Jalan Nagasari hari ini. – Gambar perkongsian diperolehi dari Facebook.

Dua restoran di Jalan Nagasari di Kuala Lumpur hangus dijilat api pada kira-kira 1.45 tengah hari tadi.

Ketua Pusat Pergerakan Operasi Balai bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Samsol Maarif Saibani berkata tiga jentera bomba dengan lebih 30 anggota dari balai bomba Pudu dan KLCC digerakkan ke tempat kejadian sejurus selepas panggilan kecemasan diterima daripada orang awam.

“Sebaik tiba di lokasi, kami dapati dua buah restoran terbakar 100 peratus. Api dipadamkan pada 3.15 petang.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Samsol Maarif berkata tiada sebarang letupan berlaku ketika kejadian kebakaran berkenaan.

“Ia hanya khabar angin (berlaku letupan) dan perkara sedemikian adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

Menurut saksi, Sajid Ali, 24, pekerja separuh masa di restoran itu berkata dalam kejadian itu, pelanggan dan pekerja restoran itu bertempiaran lari menyelamatkan diri.

“Pelanggan tidak sempat menikmati hidangan yang dipesan dan terkejut dengan kejadian itu,” kata Sajid yang merupakan pelajar di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur.

“Syukur Alhamdulillah, semua orang dalam restoran itu sempat menyelamatkan diri dan bomba juga datang dengan pantas,” katanya. – Bernama