19 tuntut Zakir Naik disekat dari memasuki Malaysia

 |Mar 1, 2017
Gambar fail kredit Facebook Dr Zakir Naik.

Tindakan undang-undang telah dimulakan terhadap kerajaan dan empat lagi bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk mengisytiharkan penceramah Zakir Naik sebagai ancaman terhadap keselamatan negara.

Sekumpulan rakyat Malaysia terdiri dari peguam, pejuang hak manusia serta ahli perniagaan, antara lain, hari ini memfail permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mengyistiharkan penceramah dari India itu sebagai ancaman terhadap keselamatan awam, moral, ekonomi, keharmonian sosial dan pendidikan nasional.

Menurut laporan The Star Online, kumpulan itu terdiri dari 19 orang termasuk peguam Siti Zabedah Kassim, presiden Parti STAR Sabah Jeffrey Kitingan, aktivis Lim Teck Ghee serta bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy.

Mereka juga memohon kepada mahkamah untuk mengusir Zakir dari negara ini dan juga memohon agar penceramah itu disekat dari kembali ke Malaysia samada sebagai pelancong atau menggunakan kaedah lain.

Berhubung dakwaan Zakir telah diberikan taraf penduduk tetap di Malaysia, mereka mahu ia ditarik balik sekiranya dakwaan itu benar.

Seterusnya, mereka mahukan perintah mahkamah bagi Ketua Polis Negara (KPN) untuk menahan Zakir dengan segera.

Waytha yang turut hadir di mahkamah hari ini berkata mereka percaya Zakir masih berada di Malaysia dan telah diberikan status penduduk tetap.

Dakwanya lagi, pihak berkuasa masih belum memberi respon berhubung pertanyaan mereka tentang di mana Zakir berada sekarang dan juga mengenai status penceramah itu.

Selain kerajaan Malaysia, kumpulan itu menamakan empat defendan lain; Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, KPN Khalid Abu Bakar, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen serta Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara.

Saman pemula difailkan di pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melalui peguam S. Karthigesan.