Fokus terhadap sektor awam adalah tepat, kata Tunku Abdul Aziz

 |Jan 16, 2017
Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim. - Gambar kredit MO.
Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim. – Gambar kredit MO.

Agensi pencegahan rasuah Malaysiai kini dilihat semakin agresif di dalam usaha mereka menangani masalah rasuah yang melanda negara.

Tahun lepas dan juga awal tahun ini menyaksikan beberapa individu berprofil tinggi ditahan bagi membantu siasatan dakwaan terlibat dengan rasuah.

Walaupun ramai yang memuji tindakan ini, terdapat ramai yang mempertikaikan bahawa ‘jerung besar’ dibiarkan terlepas.

“Adalah menjadi kesalahan jika kita fikir menteri mempunyai kuasa bertindak yang lebih besar dari penjawat awam.”

Ini komen diberikan pengerusi lembaga penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim apabila ditanya mengenai persepsi bahawa fokus diberikan kepada ‘ikan kecil’ dan bukannya ‘jerung besar’.

Bercakap kepada suratkhabar bahasa Inggeris New Straits Times, Tunku Abdul Aziz berkata penjawat awam lebih terdedah kepada amalan rasuah berbanding menteri kabinet.

“Di mana kuasa itu lebih tertumpu, di situlah terdapat peluang untuk ia disalahgunakan,” beliau dipetik berkata oleh NST.

Tunku Abdul Aziz menjelaskan bahawa menteri tidak boleh menandatangani kelulusan kontrak kerana kuasa tersebut dipertanggungjawabkan kepada penjawat awam yang memegang jawatan di beberapa tahap.

Dalam berkata demikian, Tunku Abdul Aziz memuji tindakan SPRM yang memberikan fokus terhadap sektor awam.

Beliau berkata ini merupakan sasaran yang tepat kerana peluang bagi penjawat awam untuk terlibat amalan rasuah adalah lebih besar.

Walaubagaimanapun, Tunku Abdul Aziz yang juga seorang aktivis sosial berkata tiada individu yang boleh lari dari undang-undang, termasuk para menteri dan ketua-ketua industri.

Bagi SPRM pula, Tunku Abdul Aziz berkata suruhanjaya itu perlu terus berusaha memenangi kepercayaan rakyat.

Untuk merealisasikan potensinya, SPRM memerlukan sokongan yang kuat dari rakyat, kata Tunku Abdul Aziz yang juga menjelaskan bahawa suruhanjaya tersebut perlu lakukan sebaik mungkin untuk memastikan ia tidak dibayangi keraguan.

Di dalam perkembangan berkaitan, Tunku Abdul Aziz berkata menghebohkan tangkapan berkaitan rasuah sebelum individu terlibat didakwa di mahkamah adalah tindakan yang tidak wajar.

“Ini adalah untuk mengelakkan dari memusnahkan reputasi seseorang itu yang belum dibuktikan bersalah di mahkamah,” katanya.

Berhubung amalan rasuah itu sendiri, Tunku Abdul Aziz berpendapat kebergantungan terhadap undang-undang semata-mata tidak mencukupi dalam menangani masalah rasuah.

Beliau berkata ini adalah kerana undang-undang tidak boleh mengubah perangai manusia atau kecenderungan untuk menyalahgunakan kuasa.

“Kita perlu mengadakan sistem semak dan imbang yang praktikal dan boleh digunapakai, dan di dalam sistem tersebut perlu dimasukkan element etika profesional serta nilai murni individu,” katanya lagi.