10 remaja perempuan disyaki buli rakan dipanggil polis

 |Aug 1, 2017

PETALING JAYA: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun cedera selepas dibelasah 10 pelajar perempuan di sebuah padang di daerah Kunak, Sabah baru-baru ini.

Dalam kejadian tersebut, pelajar tersebut disepak kerana dipercayai bergambar dengan seorang lelaki ketika sambutan Hari Raya dan memuatnaiknya secara dalam talian.

Kejadian tersebut menjadi tular di media sosial dan polis telah memanggil 10 pelajar perempuan dari sebuah sekolah menengah di Kunak bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata kertas siasatan dibuka berhubung insiden tersebut selepas ibu mangsa membuat satu laporan polis tengah hari semalam.

Menurutnya, polis turut memanggil keluarga remaja terbabit selain pegawai pendidikan daerah dan pengerusi persatuan ibu bapa dan guru untuk membincangkan insiden itu selain tindakan yang sewajarnya diambil.

“Kita akan memanggil kesemua yang terlibat dalam masa terdekat dan ibu bapa serta guru-guru sekolah,” katanya dalam satu kenyataan.

Video berdurasi seminit 39 saat itu yang tular sejak semalam menyaksikan sekurang-kurangnya 10 pelajar perempuan membelasah seorang rakan mereka dipercayai akibat berebut lelaki.

Melalui video berkenaan, mangsa dilihat merayu agar tidak disakiti, namun tidak diendahkan apabila suspek beramai-ramai menumbuk, menendang dan menarik rambutnya.

Sementara itu, dua keping gambar kesemua sepuluh pelajar perempuan itu yang dipercayai diambil selepas membelasah mangsa tersebar di media sosial.

Salah satu gambar berkenaan menunjukkan sembilan daripada mereka menunjukkan isyarat lucah ‘jari tengah’ ke arah kamera.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku pada minggu lalu. – MO